GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

 

Kuala Lumpur: Lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan pasangan suami isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menjadi 'orang dalam' sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Bukan itu saja, mereka yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak 2015 sehingga 2020 turut disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram sehingga mampu hidup mewah.

Sumber berkata, kesemua suspek ditahan SPRM selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

"Ahli sindiket yang ditahan itu berusia antara 34 hingga 47 tahun terdiri daripada pekerja teknikal dan kakitangan syarikat pembekal.

"Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) membabitkan 100 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, pertuduhan membabitkan aset yang dimiliki suspek iaitu hasil wang haram diperolehi daripada kegiatan sindiket seperti wang tunai, jam tangan mewah, kenderaan, tanah dan rumah.

"Kesemua mereka juga akan dituduh di mahkamah lain di beberapa negeri antaranya Selangor, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka," katanya.

Pada April tahun lalu, SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya melumpuhkan satu sindiket terbesar yang terbabit dalam pengeluaran PLKS palsu.

Media melaporkan sindiket pengeluaran PLKS palsu itu tumpas susulan penahanan lima individu termasuk seorang individu bergelar Datuk dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Operasi turut merungkai kegiatan sindiket itu yang mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Berikutan itu, sebanyak 147 akaun milik 30 individu dan 11 syarikat dengan nilai berjumlah RM9.98 juta dibekukan.

Sebanyak 30 unit hartanah dengan anggaran nilai RM11.87 juta dan 66 kenderaan bernilai RM13.69 juta turut disita serta dibekukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 4:15 PM