ISMAIL Sabri dua, kiri) bersama Rina tiga, kiri) menyampaikan Anugerah Ikon Wanita (Kepimpinan) kepada Salmah Ibrahim pada majlis berkenaan. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri dua, kiri) bersama Rina tiga, kiri) menyampaikan Anugerah Ikon Wanita (Kepimpinan) kepada Salmah Ibrahim pada majlis berkenaan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa, kerajaan hari ini mengumumkan enam inisiatif antaranya wanita yang kematian suami dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh wanita yang kematian suami, ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi adalah diwajibkan untuk membenarkan wanita untuk BDR bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.

Selain itu, beliau berkata, cadangan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam bermodal besar dijangka berkuat kuasa 1 September ini, manakala bagi syarikat tersenarai lain pelaksanaannya dijangka pada 1 Jun tahun depan.

"Bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita, sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada Persekutuan atau negeri," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wanita 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, malam tadi..

Turut hadir Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut menubuhkan Majlis Wanita Negara, mewujudkan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual dan memantapkan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian panjang.

"Hakam satu kaedah yang diperkenal Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai," katanya.

Perdana menteri berkata, kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan iaitu pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Beliau berkata, pihak bank dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang sudah dibekukan itu kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang membabitkan wang Ringgit di mahkamah dan kaedah ini dikenali sebagai Hiwalah.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menyampaikan Anugerah Ikon Wanita kepada lapan penerima kategori Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan, Kepimpinan, Keselamatan, Perundangan, Wanita Bangkit dan Anugerah Khas Tun Fatimah.

Anugerah Khas Tun Fatimah diberikan kepada Pengasas dan Presiden Persatuan Usahawan Wanita Antarabangsa Malaysia (IWEM) Norazizah Borhan dan anugerah diberikan kepada wanita yang mempamerkan sumbangan luar biasa termasuk menerima pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 8:39 AM