Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan isteri, Zaharah Kechik diarahkan supaya melantik hakam Islah oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini, bagi kes permohonan perceraian oleh pihak isteri.

Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar membuat keputusan itu selepas Jawatankuasa Pendamai (JKP) didapati gagal mengislahkan perkahwinan kedua-dua pihak terbabit.

"Plaintif (Zaharah) masih tekad untuk berpisah, manakala defendan (Mohamad Khir) mahu membincangkan hal (perceraian itu).

"Berikutan itu, kedua-dua pihak perlu melantik hakam Islah dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Julai depan," katanya.

Sebelum itu, Mohamad Khir dan Zaharah, masing-masing berusia 57 tahun hadir di mahkamah bersama peguam pada 9 pagi.

Sementara itu, peguam Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain mewakili Zaharah berkata, anak guamnya memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen 2 Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 pada 24 Februari lalu.

"Selepas mendengar laporan JKP, mahkamah hari ini mendapati berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dalam rumah tangga kedua-dua pihak.

"Oleh itu, anak guam saya dan defendan perlu melantik hakam Islah iaitu wakil lelaki untuk berbincang sebelum menyerahkan laporan kepada mahkamah," katanya.

Manakala, peguam Siti Elly Jasmin Aminuddin mewakili Mohamad Khir pula berkata, pihaknya akan menamakan hakam pada tarikh yang ditetapkan itu.

"Satu perbincangan akan turut dilakukan antara hakam-hakam Islah pada hari berkenaan.

"Sepanjang prosiding kes ini, kita akan melihat isu shiqaq itu sebenarnya berpunca daripada siapa," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Khir menegaskan beliau sehingga kini tidak mempunyai sebab untuk menceraikan Zaharah.

"Saya sudah memenuhi tanggungjawab sebagai suami sejak 30 tahun lalu.

"Beliau minta cerai dan tak ada sebab untuk bercerai. Oleh itu, saya menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk ditentukan," katanya.

MOHAMAD Khir hadir bagi sebutan kes perceraian dengan isterinya, Zaharah di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
MOHAMAD Khir hadir bagi sebutan kes perceraian dengan isterinya, Zaharah di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 12:48 PM