Keadaan air sungai yang kelihatan berada di paras bahaya dan kerja-kerja meninggikan ban sedang dilakukan bagi mengelakkan air sungai melimpah di Pintu Kunci Air Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam. FOTO BERNAMA
Keadaan air sungai yang kelihatan berada di paras bahaya dan kerja-kerja meninggikan ban sedang dilakukan bagi mengelakkan air sungai melimpah di Pintu Kunci Air Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Rata-rata penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, masih trauma sekiranya banjir besar pada 18 Disember lalu berulang.

Salah seorang penduduk, Noraishah Yahya, 44, memaklumkan banjir menenggelamkan Lembah Klang semalam menyebabkan dia tidak senang duduk.

"Suaminya yang ketika itu sedang bekerja di sebuah kilang di Bukit Lanchong menghubunginya pada jam 7 malam semalam dan memintanya bersiap sedia untuk berpindah keluar dari rumah.

"Ia berikutan suami, Hairi Ramli, 50 melihat air sudah naik di hadapan kilangnya dan bimbang Taman Sri Muda akan turut dilimpahi banjir sekali lagi.

"Banjir tahun lalu (Disember 2021), kami kerugian lebih RM30,000 apabila dua kereta, sebuah motosikal dan rumah rosak ditenggelami air," katanya.

Menurutnya, walaupun hujan lebat semalam tidak menyebabkan banjir di Shah Alam namun dia tetap

mengemas pakaian dan kelengkapan.

"Saya sudah bersiap sedia untuk menumpang di rumah adik di Damansara selepas mendapat panggilan daripada suami.

"Hujan juga tidak berhenti selepas Maghrib. Saya bertindak keluar dari rumah sebagai langkah keselamatan sebaik sahaja dua anak saya pulang dari kerja," katanya tadi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kamalia Emansah, 41 berkata, walaupun banyak kawasan di Lembah Klang dilanda banjir kilat, dia bersyukur Taman Sri Muda tidak mengalami hujan yang lebat kelmarin.

"Saya berwaspada dengan melihat paras air dalam parit di hadapan rumah. Air dilihat pada paras yang OK saja (berikutan hujan tidak lebat).

"Ramai juga penduduk bertindak memindahkan kenderaan masing-masing mungkin bimbang tragedi tahun lalu berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 5:47 PM