Suzalina Halid


Muar: Calon muda Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Noor Farah Shamsuddin mahu dikenali dalam kalangan pengundi di kawasan ini sebagai pemimpin yang benar-benar bekerja dan bukannya sekadar 'juara' di laman sosial dengan hanya memuat naik kandungan pengisian menarik.

Atas prinsip itu, Noor Farah tidak gentar dengan populariti pemimpin muda yang dilihat sinonim dengan Parlimen Muar ini kerana percaya pada akhirnya pengundi akan lebih menghargai siapa pemimpin yang banyak berkhidmat membantu mereka.

Malah, Noor Farah berkata, tanggapan bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah ikon orang muda juga tidak dianggap masalah baginya kerana beliau lebih fokus terhadap kerja keras dan menjaga kebajikan jentera parti bagi memastikan DUN Maharani dapat dikembalikan kepada Barisan Nasional (BN) pada 12 Mac ini.

Noor Farah berkata, hanya BN sebuah parti yang terbukti mampu menjamin kestabilan negara selama ini dan faktor itu adalah penting untuk memastikan kerajaan dapat dipimpin dengan baik dalam era mencabar kini.

"Saya tidak sukakan cerita retorik sebaliknya hanya percaya kepada lakukan apa yang dijanjikan... perlu tolong betul-betul bukan hanya sekadar buat 'content' di laman sosial.

"Saya mahu apa yang dimuat naik di laman sosial itu memang betul-betul menggambarkan kerja keras sebenar... memang orang anggap cabaran bertanding di DUN di bawah Parlimen Muar ini, namun saya percaya kerja keras lagi penting.

"Malah saya turut menerima nasihat dari pemimpin parti lebih senior antaranya bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim supaya saya betul-betul buat kerja," katanya.

Calon BN bagi N15 Maharani, Noor Farah Shamsudin ketika mengadakan program ziarah rumah ke rumah di Kampung Parit Samsu Darat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Calon BN bagi N15 Maharani, Noor Farah Shamsudin ketika mengadakan program ziarah rumah ke rumah di Kampung Parit Samsu Darat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Noor Farah bakal berdepan pertandingan enam penjuru di DUN Maharani termasuk tentangan dari penyandangnya, Nor Hayati Bachok dari Pakatan Harapan (PH).

Pada masa sama, Noor Farah berkata, menyedari kepentingan orang muda dalam PRN Johor melalui Undi18, pihaknya sudah melakukan gerak kerja mendekati golongan berkenaan lebih awal termasuk melalui sesi minum dan sembang santai bersama golongan mahasiswa.

Melalui sesi seperti itu, Noor Farah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Muar, berkata pihaknya dapat lebih mendalami isi hati golongan muda mengenai ciri pemimpin yang diinginkan mereka.

"Saya tanya mereka mahukan pemimpin yang macam mana... jika dibandingkan dengan 'ikon' Muar, mereka lebih mahu saya menjadi diri sendiri dan buat kerja.

"Saya ingin membabitkan orang muda dan tidak dilupakan juga wanita dalam setiap pembangunan yang kita rancang di Maharani ini," katanya.

Dalam pada fokus terhadap pengundi muda, golongan lebih berusia juga tidak dilupakan dengan tetap menyantuni mereka melalui kempen rumah ke rumah.

Beliau berkata, dikenali sebagai bandar pencen, ia menjadikan Maharani ini istimewa kerana ramai bekas pekerja kerajaan yang memilih meneruskan kehidupan di sini.

"Atas sebab itu, kita membawa tema bahawa orang muda di hati, warga emas disayangi sepanjang berkempen... kita mahu mendekati semua golongan pengundi tanpa ada yang tertinggal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 7:05 PM