GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang sudah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids) meningkat kepada 270,282 individu atau 7.6 peratus setakat semalam, berbanding 229,615 individu atau 6.5 peratus, pada Rabu.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, setakat semalam juga, seramai 1,380,661 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.9 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,867,600 individu atau 92.2 peratus sudah lengkap divaksin, manakala 2,969,812 atau 95.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, seramai 15,959,507 individu dewasa atau 67.8 peratus sudah menerima dos penggalak, manakala 22,959,889 atau 97.6 peratus sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin dan 23,236,544 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 58,078 dos vaksin Covid-19 harian diberikan semalam membabitkan 8,554 dos pertama, 41,430 dos kedua dan 8,094 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,431,570.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 18 kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam dengan Johor, Kedah dan Perak masing-masing mencatat tiga kes diikuti Negeri Sembilan dan Pahang, masing-masing dua kes.

Selain itu, satu kes kematian turut direkodkan di Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Putrajaya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 9:32 AM