KEADAAN rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Klang: Sembilan individu dari dua keluarga tinggal sehelai sepinggan selepas kediaman mereka di Kampung Rantau Panjang, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu.

Tujuh motosikal turut musnah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 3.15 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 16 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, BBP Kapar dan BBP Kota Raja digerakkan dalam operasi itu.

"Sebaik tiba, didapati api sedang marak memusnahkan dua rumah terbabit.

"Kita kemudian membuat pemadaman secara menyeluruh menggunakan beberapa jentera bomba. Api berjaya dikawal pada 3.39 pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kebakaran memusnahkan sepenuhnya dua kediaman termasuk tujuh motosikal pelbagai jenis.

"Bagaimanapun, sembilan individu termasuk kanak-kanak dari dua keluarga yang menghuni rumah itu selamat," katanya.

Norazam berkata, operasi tamat sepenuhnya pada 12.15 tengah hari.

Katanya, punca sebenar kebakaran dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 5:44 PM