SAHRIHAN (tengah) beramah mesra dengan tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan tiga pasangan pengantin di Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir. FOTO Hairul Annuar Abd Rahim
SAHRIHAN (tengah) beramah mesra dengan tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan tiga pasangan pengantin di Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir. FOTO Hairul Annuar Abd Rahim
Suzalina Halid

Muar: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Sahrihan Jani, optimis strategi meletakkan calon dari UMNO selepas tiga penggal 'dipegang' MIC mampu memberi kelebihan sekali gus merampas semula kerusi itu.

Sahrihan yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Ledang berkata, keyakinan itu disuarakannya selepas melihat sendiri maklum balas dan sokongan pengundi dalam lebih tempoh seminggu berkempen ini.

Malah katanya, pengundi turut menyuarakan rasa teruja kerana BN meletakkan calon Melayu anak tempatan buat pertama kalinya yang sudah serasi dengan mereka kerana sebelum ini DUN Gambir adalah kuota untuk MIC.

"Tempoh berkempen sepanjang seminggu ini adalah detik menyeronokkan dalam hidup saya kerana berjumpa dengan ramai pengundi.

"Bukan setakat berjumpa, malah maklum balas diterima amat positif kerana mereka amat teruja kerana BN meletakkan calon anak muda tempatan.

"Sehingga kini saya tidak nampak maklum balas negatif, apatah lagi saya adalah anak tempatan yang membesar di sini dan boleh memahami mereka," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Sengkang Batu 18 di sini, hari ini.

Jadual yang padat dengan program berkempen tidak menghalang Sahrihan untuk memenuhi undangan tujuh majlis perkahwinan di DUN itu.

Sebelum ini DUN Gambir yang kali pertama dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2004 menyaksikan calon BN, Datuk M Asojan menyandang kerusi itu selama tiga penggal berturut-turut.

Menolak politik kebencian, Sahrihan yang berasal dari Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir tidak akan menggunakan serangan peribadi terhadap pihak lawan sepanjang berkempen.

"Serangan peribadi adalah pendekatan politik lapuk...sepatutnya rakyat sudah tidak dihidangkan cara politik begitu, sebaliknya pengundi perlu ditawarkan dengan apa pembaharuan yang boleh kita berikan buat mereka," katanya.

Melihat kepada lawannya dalam pertandingan empat penjuru, beliau percaya hanya parti yang dapat menawarkan pilihan lebih baik mampu memikat hati pengundi.

"Bagi saya dalam cabaran adalah sengit dari empat parti, namun kita terbuka dalam medan peperangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 3:49 PM