GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kira-kira 90 peratus kes kematian akibat Covid-19 di Kedah berlaku berikutan pesakit tidak sedar mereka dijangkiti virus itu dan hanya diketahui selepas meninggal dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata kebanyakan mangsa yang meninggal adalah disebabkan radang paru-paru.

"Mereka tidak tahu mereka dijangkiti, pada mulanya mereka hanya menyangka terkena selsema biasa, rupanya terkena jangkitan.

"Dalam kebanyakan kes, ada kalangan pesakit hanya dibawa ke hospital selepas berada di tahap yang serius sehingga sudah sampai tahap terkena pneumonia.

"Sebab itu penting untuk kita lakukan ujian saringan Covid-19 kendiri sebaik mengalami salah satu simptom, selain mengamalkan TRIIS iaitu ujian, lapor, mengasingkan, memaklumkan dan mencari," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menerusi laman sesawang COVIDNOW Kedah mencatatkan 81 kematian sejak dua minggu lalu, iaitu kelima tertinggi selepas Johor, Lembah Klang, Selangor dan Sabah.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata terdapat juga kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) dan majoriti mangsa terdiri daripada individu yang tidak mengambil vaksin dos penggalak.

Katanya, cabaran kerajaan kini adalah untuk memastikan lebih ramai mengambil dos penggalak terutama individu yang berusia 60 tahun ke atas.

"Di Kedah individu yang mengambil dos penggalak baru mencapai 40 peratus, dalam keadaan sekarang kita gesa orang ramai mengambil dos penggalak.

"Ini kerana, berdasarkan statistik kadar kematian mereka yang ambil dos penggalak lebih rendah berbanding yang tidak ambil, begitu juga dengan kanak-kanak berusia lima tahun ke atas, mereka juga perlu mengambil vaksin seperti yang disarankan kerajaan," jelas beliau.

Beliau berkata walaupun simptom varian Omicron bergejala ringan namun ia tetap tidak boleh diambil mudah.

Katanya, kes Covid-19 di Kedah adalah kes sporadik yang dikesan dalam komuniti namun tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.

"Banyak kes dikuarantin di rumah, sekiranya tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), ia mudah menjangkiti ahli keluarga, hubungi hotline Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sekiranya keadaan melarat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 1:22 PM