Ismail Sabri
Ismail Sabri
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kabinet bersetuju untuk melaksanakan projek Mass Rapid Transit 3 (MRT 3) serta menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah-Sarawak dan projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan terutamanya Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.

Katanya, ini akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, khususnya objektif kerajaan untuk terus memperkasakan sektor perniagaan, serta mencipta 600,000 pekerjaan tahun ini.

"Kerajaan sudah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang, dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

"Berhubung Lebuh Raya Pan Borneo (LPB), Fasa Pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan dan membabitkan 15 pakej di mana kemajuan kerja setakat ini sudah mencapai 52 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.

"Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan membabitkan jajaran sepanjang 367 kilometer dengan tempoh pembinaan selama lima tahun.

"Fasa Pertama LPB Sarawak pula akan membabitkan jajaran 786 kilometer dan telah mencapai 78 peratus kemajuan kerja setakat ini.

"Bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, berhubung dengan projek tebatan banjir, kerajaan pada masa ini menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021 atau 2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, kabinet memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 sehingga 2030.

Ismail berkata, pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara dan kesejahteraan rakyat.

Keputusan melaksanakan projek terbabit mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang bagi Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 5:04 PM