GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada kumpulan rentan atau berisiko tinggi akan bermula bulan ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, golongan terbabit akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan bagi melindungi mereka dan mengurangkan kes kematian.

"Alhamdulillah, kita (kerajaan) sudah memberikan lebih 44 juta dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

"Vaksinasi kepada golongan remaja juga meningkat dengan pantas dan kita boleh memulakan pemberian suntikan dos penggalak kepada warga emas bulan ini," ciapnya di Twitter hari ini.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia memulakan proses pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 kepada orang awam mulai awal Oktober ini.

Beliau berkata, kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti KKM akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan.

Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) melaporkan, 211,517 dos vaksin diberikan semalam melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negara, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 44,145,505 dos.

Berdasarkan infografik di Facebook JKJAV, setakat 11.59 malam tadi sebanyak 89,695 menerima suntikan dos pertama dan 121,822 bagi dos kedua.

Jumlah peratusan vaksinasi terkini bagi populasi dewasa di negara ini juga terus mencatatkan peningkatan sebanyak 87.2 peratus atau 20,418,495 individu sudah melengkapkan dua dos vaksin manakala 94.3 peratus iaitu 22,070,545 individu dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 11:10 AM