DATUK Mohamad Taufek Abd Ghani melawat tapak projek Tanah Perkuburan Islam Senawang yang baru bagi menyelesaikan isu kesesakan kubur di kawasan berkenaan. FOTO ihsan YB Taufek.
DATUK Mohamad Taufek Abd Ghani melawat tapak projek Tanah Perkuburan Islam Senawang yang baru bagi menyelesaikan isu kesesakan kubur di kawasan berkenaan. FOTO ihsan YB Taufek.
Ahmad Hasbi


Seremban: Isu kesesakan kubur dan masalah air bertakung di kawasan rendah sehingga menimbulkan isu 'kubur berdarah' di Tanah Perkuburan Islam Forest Height sebelum ini bakal selesai apabila tapak perkuburan baru akan dibuka 7 Mac depan.

Tanah perkuburan baharu bersebelahan tapak asal bakal menggunakan kaedah platform bagi mengatasi masalah air bertakung.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menerima aduan daripada beberapa pihak berhubung kelewatan pembukaan tanah perkuburan berkenaan.

"Tanah perkuburan ini sepatutnya siap pada 17 Februari lalu tetapi pembukaannya terpaksa ditunda disebabkan beberapa faktor.

"Bagaimanapun, berlaku isu air bertakung di tapak sedia ada dan pihak majlis menimbangkan untuk menggunakan kaedah platform sebagai tapak perkuburan.

"Penukaran kaedah ini menyebabkan berlaku perlanjutan masa kerja oleh pihak kontraktor. Selain itu, projek ini juga terjejas akibat cuaca yang sering hujan sejak kebelakangan ini," katanya tadi.

Sebelum ini tular di laman sosial mengenai kubur berdarah di tanah perkuburan berkenaan susulan tapak kubur berada di kawasan rendah sehingga menyebabkan air bertakung dan mengeluarkan cecair berwarna merah.

Penduduk di sekitar Senawang sebelum ini juga meluahkan perasaan sedih apabila melihat pusara waris keluarga mereka dalam keadaan sebegitu dan meminta pihak berkuasa mempercepatkan pembinaan tapak kubur baharu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (Adun) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, penduduk bagi kariah Senawang sebelum ini merungut kerana jenazah keluarga mereka terpaksa dikebumikan di tanah perkuburan yang lebih jauh.

"Tanah perkuburan di Paroi dan Ainsdale misalnya dikhaskan untuk kariah di kawasan itu dan ada yang mempunyai masalah ruang untuk menampung pengebumian jenazah dari kariah lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 3:04 PM