Suzalina Halid

Segamat: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu lebih kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam aspek syarat berkempen, khususnya membabitkan pertemuan dengan pengundi dan orang ramai.

Mengulas mengenai SOP baharu diumumkan SPR sepanjang PRN Johor hari ini, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, walaupun pihaknya menyambut baik kelonggaran itu, masih ada perkara perlu ditambah baik iaitu dalam aspek kelonggaran bertemu orang ramai tanpa mengabaikan prosedur tertentu seperti penjarakan.

"Itu sebahagian yang kita minta dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tapi kita kata bagi kelonggaran lebih untuk cakap dengan orang ramai.. dia ada media ada wang, kita nak jumpa orang ramai.

"SOP jarak semua saya setuju, nak kena luas, buat di padang, jarak-jarak tapi kena bagi kempen," katanya kepada pemberita, di sini.

ANUAR ketika berkempen di Felda Medoi, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
ANUAR ketika berkempen di Felda Medoi, Segamat. FOTO Ahmad Ismail

SPR semalam mengumumkan ceramah, syarahan dan kempen bagi PRN Johor kini boleh diadakan di dalam dan di pekarangan pejabat parti serta bilik gerakan parti yang rasmi.

Selain itu, ceramah sepanjang kempen juga dibenarkan sehingga 12 tengah malam, berkuat kuasa serta-merta berbanding hanya sehingga jam 10 malam sebelum ini.

SPR dalam kenyataannya menjelaskan, kelonggaran itu dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada masa sama, Anwar berkata, PH juga perlu berhati-hati dalam melakukan sebarang kempen termasuk sesi ceramah bagi mengelakkan situasi dikompaun seperti mana melalui ceramah mega pertama anjuran gabungan parti itu di Bilik Gerakan Amanah Kota Iskandar di Taman Mutiara Rini.

Pada program ceramah itu, penganjur dikenakan tiga kompaun bernilai RM3,000 oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru.

Sementara itu, Anwar menafikan pergerakan kempen gabungan parti itu pada PRN Johor bersifat perlahan dan tidak serancak momentum yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN).

Anwar sebaliknya berkata, walaupun PH bukan parti yang kaya seperti BN dan PN, pihaknya berpuas hati dengan pergerakan kempen yang sudah memasuki hari kelima.

"Dari segi gerakan ok... berdasarkan laporan, bagi kawasan yang ditandingi PKR dan PH, ia bergeraklah.

"Tapi kita tidak sekaya parti-parti itu (BN dan PN) itu nampak besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 8:40 AM