BERNAMA

Miri: Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) yang hanya berbaki lima hari menyaksikan kempen calon yang bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di wilayah utara Sarawak semakin rancak dengan kelebihan memihak kepada ceramah secara fizikal.

Wilayah utara Sarawak merangkumi bahagian Miri, Bintulu dan Limbang dengan 14 daripada 18 DUN di kawasan itu yang tersenarai dalam kumpulan 64 DUN dibenar melaksanakan aktiviti ceramah secara bersemuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan tahap liputan Internet rendah.

Jentera kempen parti masing-masing semakin aktif turun padang termasuk mengagihkan risalah maklumat calon kepada pengundi, kempen siar raya menggunakan pembesar suara selain pemasangan bendera, poster dan sepanduk calon.

Di Lawas, yang menempatkan DUN Bukit Sari dan DUN Ba'kelalan, suasana kempen meriah dengan aktiviti ceramah fizikal secara norma baharu dan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan SPR serta Kementerian Kesihatan.

Pengarah Pilihan Raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi DUN Bukit Sari Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa berkata kempen Gabungan Parti Sarawak (GPS) berada pada 'pecutan' ketiga dalam usaha memastikan calon mereka iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mengekalkan kemenangannya.

Beliau berkata fokus jentera GPS adalah memastikan pengundi Bukit Sari khususnya di luar bandar mengenali logo gabungan politik itu bagi mengelakkan mereka keliru dengan parti lain yang turut memaparkan imej Burung Kenyalang.

"Kita juga sedang menyusun jadual kempen ceramah fizikal, termasuk memohon permit, malah semua jentera kita yang turun berkempen hanya terhad kepada individu yang lengkap vaksinasi dan wajib mematuhi semua SOP," katanya kepada Bernama.

SPR menetapkan ceramah atau syarahan secara fizikal hanya dibenarkan di 64 DUN dan pihak yang berkenaan perlu mendapatkan permit daripada polis, dilakukan di lokasi tertutup selain kehadiran adalah terhad kepada penduduk kampung atau rumah panjang sahaja.

Di Bekenu, calon GPS Datuk Rosey Yunus tidak melepaskan peluang untuk melawat dan berkempen di hampir semua rumah panjang dalam kawasan DUN itu.

"Bekenu disenaraikan sebagai kawasan kurang liputan Internet dan kerana itu, kita masih boleh mengadakan ceramah serta lawatan ke rumah panjang tetapi kami perlu memohon permit daripada pihak polis terlebih dahulu," katanya.

Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi DUN Marudi iaitu Datuk Sylvester Entri Muran berkata momentum berkempen parti itu telah dipertingkat untuk mempromosi tawaran manifestonya yang dilancarkan semalam.

Beliau berkata justeru kelebihan berkempen secara bersemuka perlu digunakan sebaik mungkin oleh parti yang bertanding untuk menerangkan tawaran manifesto masing-masing kepada pengundi.

Calon pada PRN12 kali ini turut memanfaatkan aktiviti senaman harian setiap pagi di sekitar rumah untuk bertegur sapa dengan pengundi selain bersiaran secara langsung menerusi media sosial Facebook bagi perkembangan terkini mengenai isu tempatan dan kebajikan rakyat.

Sebagai contoh, Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir setiap hari mengadakan sidang media secara maya bersama dengan calon yang bertanding selain memaparkan aktiviti kempen pilihan raya mereka.

Selain itu, terdapat parti politik yang menggunakan trak bergerak sebagai medium berkempen dan menghebahkan tawaran manifesto mereka kepada masyarakat setempat.

Secara keseluruhannya, sebanyak 349 calon bertanding pada PRN Sarawak ke-12 yang menyaksikan sejumlah 1,252,014 pengundi berdaftar memilih wakil rakyat masing-masing untuk membentuk kerajaan negeri.

SPR menetapkan esok untuk pengundian awal dan 18 Disember sebagai hari mengundi bagi PRN Sarawak kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 2:18 PM
Poster mengingatkan orang ramai untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember ketika tinjauan di pekan Bekenu hari ini. FOTO BERNAMA
Poster mengingatkan orang ramai untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember ketika tinjauan di pekan Bekenu hari ini. FOTO BERNAMA