ANGGOTA polis IPD Ampang Jaya dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pemotongan bekalan elektrik di premis yang dikenal pasti menjalankan aktiviti judi dalam talian. FOTO ihsan POLIS
ANGGOTA polis IPD Ampang Jaya dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pemotongan bekalan elektrik di premis yang dikenal pasti menjalankan aktiviti judi dalam talian. FOTO ihsan POLIS
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Sebanyak 12 premis yang dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di Ampang Jaya, di sini, dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik.

Operasi bersepadu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu bermula jam 10 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, seramai 30 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi berkenaan.

"Pasukan melakukan pemotongan bekalan elektrik di 12 premis yang dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

"Tindakan itu dilakukan mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 38 (1A) Akta Bekalan Elektrik (Pindaan 2001)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu hingga hari ini, sebanyak 30 premis di sekitar daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik kerana menjalankan aktiviti judi dalam talian.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti judi dalam talian menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 5:33 PM