DATUK Eddin Syazlee Shith (duduk tengah) di Program 'Back To School' Uthmaniah Properties Development Sdn Bhd di Pangsapuri PPR Hicom. FOTO Ruwaida Md Zain
DATUK Eddin Syazlee Shith (duduk tengah) di Program 'Back To School' Uthmaniah Properties Development Sdn Bhd di Pangsapuri PPR Hicom. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Program pembasmian kemiskinan di seluruh negara di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan diperkemaskan lagi selepas satu nota jemaah menteri dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, program pembasmian kemiskinan itu bertetapan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membasmi kemiskinan menjelang 2025, semalam.

"Saya difahamkan, satu nota jemaah menteri akan dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet dalam tempoh terdekat. Saya percaya, selepas nota jemaah menteri dan titah Yang di-Pertuan Agong ini, agenda ini akan lebih diperkemaskan dan menjadi keutamaan.

"Kita tunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bagaimana proses pelancaran akan dibuat dalam tempoh terdekat.

"Saya percaya dalam tempoh bulan ini akan dibuat proses (fasa) pertama untuk program basmi kemiskinan," katanya pada sidang media selepas Program 'Back To School' Uthmaniah Properties Development Sdn Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Uthmaniah Properties Development Sdn Bhd, Datuk Ahmad Tarmizi Mohamad.

Selaras dengan itu Eddin Syazlee berkata, EPU sudah mengenalpasti 80 lokaliti bagi tujuan eksperimen untuk mengkaji sejauh mana kesan program basmi kemiskinan yang dijalankan.

"Selain daripada 80 lokaliti yang terpilih ini, program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan.

"Kemiskinan tegar adalah isi rumah yang berpendapatan RM1,199 sebulan dan ke bawah, berdasarkan kepada kos pembelian makanan asas, bagi isi rumah dengan empat ahli keluarga," katanya.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menitahkan kerajaan agar memberikan tumpuan kepada usaha membasmi miskin tegar menjelang 2025 melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan.

Dalam sidang media sama, beliau berkata, perang antara Rusia dan Ukraine yang berlaku ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap ekonomi negara memandangkan dua negara itu mempunyai perdagangan dua hala dengan Malaysia

Katanya, meskipun kesan itu menimbulkan kebimbangan kerana jumlah perdagangan antara Malaysia dengan dua negara itu bukan dalam nilai yang kecil, tetapi tidak diketahui sejauh mana kesannya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, UPDSB memperuntukkan RM50,000 sebagai bantuan segera kepada 150 murid dan pelajar keluarga B40 sebagai bantuan persediaan kelengkapan sekolah dalam program hari ini.

"Program ini adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi membantu golongan keluarga asnaf dan keluarga B40 terkesan akibat pandemik yang melanda negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 3:29 PM