ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) kali pertama hari ini.

Mesyuarat itu diadakan bagi memastikan strategi dan inisiatif ditetapkan dilaksanakan mengikut perancangan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dalam rancangan Malaysia lima tahun (RMLT) ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat ini dihadiri oleh Ahli-Ahli Jemaah Menteri, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan.

Menurutnya, antara keputusan mesyuarat adalah menerima dan bersetuju kerangka tadbir urus pemantauan RMK-12.

"Kerajaan memandang serius usaha memastikan pelaksanaan projek dan juga program ini dapat memberi manfaat kepada rakyat.

"Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 yang dipengerusikan oleh saya dan disokong oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja.

"Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 ini akan bermesyuarat sebanyak empat kali setahun bagi memantau pelaksanaan sembilan fokus utama dan sembilan pemacu terpilih RMLT ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 akan memantau secara khusus 20 perkara utama antaranya Prestasi pelaksanaan projek dan perbelanjaan pembangunan; membasmi kemiskinan tegar; menambah baik ekosistem TVET dan transformasi perkhidmatan awam.

"Mesyuarat juga bersetuju menerima dan bersetuju dengan pendekatan baharu pembasmian kemiskinan tegar secara holistik yang akan diterajui bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Program ini adalah berdasarkan pendekatan keseluruhan negara membabitkan pelaksanaan secara terancang yang merangkumi sektor awam, swasta, akademi serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO)," katanya.

Menurut beliau, program ini akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keperluan lokaliti dan mengambil kira pelbagai dimensi termasuklah aspek pendapatan, pendidikan dan kemahiran serta kesihatan.

"Sebanyak 50 lokaliti dipilih bagi pelaksanaan dalam fasa 1 bermula awal tahun depan. Dalam memilih lokaliti itu tumpuan akan diberikan di negeri-negeri dengan kadar kemiskinan tegar tertinggi.

"Program ini akan dilaksanakan di bandar dan luar bandar tanpa mengira etnik.

"Mesyuarat bagi membincangkan agenda membasmi kemiskinan tegar ini akan diadakan dengan kerap. Ini bagi memastikan pelaksanaan program membasmi kemiskinan tegar berjalan dengan lebih berkesan," katanya.

Katanya, mesyuarat hari ini turut mengambil maklum Prestasi Perbelanjaan Pembangunan (DE) Asas 2021 termasuklah isu-isu yang berkaitan serta keperluan kewangan pada tahun seterusnya.

"Bagi memastikan keberkesanan pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan RMK-12, Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) sudah diedarkan kepada semua kementerian dan agensi bermula pada 23 November lalu.

"Prestasi pencapaian PPD, RMLT ini akan dipantau dengan menggunakan Sistem Pemantauan RMKe-12 bermula awal tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:07 PM