WARGA Terengganu memanfaatkan peluang Program Jualan Murah Keluarga Malaysia dengan membeli barangan keperluan harian di sebuah pasaraya di Merbau Patah, Kuala Terengganu, semalam. Program terbabit menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah sehingga 20 peratus daripada harga pasaran, sekali gus dapat membantu kos sara hidup rakyat berpendapatan B40.
WARGA Terengganu memanfaatkan peluang Program Jualan Murah Keluarga Malaysia dengan membeli barangan keperluan harian di sebuah pasaraya di Merbau Patah, Kuala Terengganu, semalam. Program terbabit menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah sehingga 20 peratus daripada harga pasaran, sekali gus dapat membantu kos sara hidup rakyat berpendapatan B40.

MATLAMAT sifar miskin tegar dalam negara menjelang akhir 2025 mampu dicapai melalui inisiatif dan program yang dilaksanakan kerajaan Keluarga Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, dalam menangani miskin tegar mekanisme baharu yang lebih holistik iaitu program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) telah diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM36 bilion untuk pembasmian kemiskinan dalam RMK12, dengan peruntukan RM150 juta adalah bagi program BMTKM 2022.

"Menjelang akhir 2025, kerajaan akan mengisytiharkan tiada lagi keluarga Malaysia yang miskin tegar," katanya pada Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan di sini semalam yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang membentangkan laporan mengenai pencapaian Keluarga Malaysia Menangani Cabaran Ekonomi berkata sehingga kini, terdapat 136,000 keluarga miskin tegar dalam negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan Program Rintis Fasa 1 BMTKM sedang giat dilaksanakan dengan melibatkan 80 lokaliti seluruh negara.

"Sehingga kini, 64 daripada 80 lokaliti sudahpun dilaksanakan melalui program BMTKM Fasa 1," katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan Keluarga Malaysia juga sedang memberi tumpuan terhadap program peningkatan pendapatan bagi membasmi kemiskinan dalam negara.

"Program peningkatan pendapatan seperti program dalam bidang penternakan, pertanian dan keusahawanan. Program seperti pembangunan modal insan serta latihan dan kursus asas pengurusan kewangan juga sedang giat diadakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 7:00 AM