Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan akan mewujudkan pangkalan data penerima bantuan berpusat yang boleh dicapai semua agensi supaya agihan bantuan dapat diselaraskan.

Langkah itu antara tujuh Resolusi Persidangan Meja Bulat Menyantuni Kemiskinan Bandar yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kemiskinan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka awal tahun depan.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terpanggil untuk mengadakan persidangan itu susulan laporan dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengenai laporan bertajuk 'Families On The Edge'.

Laporan itu mengkaji impak Covid-19 kepada keluarga berpendapatan rendah yang mengambil sampel daripada 530 keluarga tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

Laporan kajian itu menyentuh mengenai mereka terjejas akibat dibuang kerja, elaun kerja lebih masa dipotong dan berdepan pelbagai cabaran dalam mendapatkan perkhidmatan sosial seperti kesihatan dan pendidikan di rumah.

Pengerusi Persidangan Meja Bulat Tan Sri Abd Aziz Rahman berkata, antara resolusi lain dipersetujui adalah mengkaji semula kemiskinan pelbagai dimensi di mana tahap kemiskinan diukur berdasarkan jumlah pendapatan keluarga yang ditolak jumlah kadar kecukupan sara hidup keluarga berkenaan dalam sebulan," katanya ketika membacakan laporan itu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli MAIWP berkata, resolusi lain yang dipersetujui adalah dengan menjalin kerjasama strategik antara agensi kerajaan, swasta dan sukarelawan dalam mengagihkan bantuan kepada golongan sasar supaya tiada pertindihan, keciciran serta lebih efisyen dan produktif.

"Selain itu, sidang mencadangkan untuk membangunkan kawasan sekitar masjid berkonsepkan Bandar Islam mengandungi komponen pembangunan seperti pusat perniagaan, perumahan untuk asnaf, B40 termasuk mualaf.

DR ZULKIFLI (tengah) menyaksikan penyerahan resolusi persidangan diantara Abd Aziz (kiri) dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Ekuiti EPU JPM, Mohd Zainal Othman (kanan) pada majlis perasmian persidangan meja bulat "Menyantuni Kemiskinan Bandar" di Hotel Seri Pacific.  FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
DR ZULKIFLI (tengah) menyaksikan penyerahan resolusi persidangan diantara Abd Aziz (kiri) dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Ekuiti EPU JPM, Mohd Zainal Othman (kanan) pada majlis perasmian persidangan meja bulat "Menyantuni Kemiskinan Bandar" di Hotel Seri Pacific. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.

"Selain itu, meningkatkan hasil yang berkualiti dan berkekalan melalui pendekatan lebih fokus kepada individu dan akan dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk mencapai hasil yang berkualiti dan berkekalan bagi mengurangkan kos pengurusan.

"Dalam usaha membasmi kemiskinan dan juga mengurangkan ketidakseimbangan, penekanan akan diberikan kepada aspek keusahawanan, pendidikan dan latihan," katanya.

Menurutnya, persidangan bersetuju untuk mengenal pasti punca utama kemiskinan dan menggunakan instrumen wakaf dalam membasmi kemiskinan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang merasmikan persidangan itu berkata, tujuh resolusi itu akan dibentangkan dalam persidangan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kemiskinan yang dipengerusikan Perdana Menteri.

"Tujuh resolusi ini dibentangkan dengan baik dan boleh diperincikan cara pelaksanaan serta menyelesaikan masalah menyantuni kemiskinan bandar.

"InsyaAllah awal tahun depan (dibentang), sekarang (tak sempat) sebab sudah akhir tahun. Lagipun nota (kertas kerja) kita boleh buat dalam masa sekejap saja," katanya.

Menurutnya, resolusi itu akan diperhalusi serta akan dilaksanakan sebagai projek perintis yang memungkinkan pelaksanaannya dilakukan masa terdekat.

Tujuh resolusi itu dicapai menerusi perbincangan dengan pelbagai agensi berkaitan antaranya Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pengajian Tinggi, Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Selain itu, agensi lain adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Wakaf Malaysia dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 2:43 PM