Petugas perubatan menunjukkan picagari sebelum memberikan suntikan vaksin Covid-19. Foto Danial Saad
Petugas perubatan menunjukkan picagari sebelum memberikan suntikan vaksin Covid-19. Foto Danial Saad
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Seramai 45,381 atau 11.3 peratus orang kanak-kanak di Sabah sudah menerima satu dos vaksin Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, ia adalah daripada 411,400 kanak-kanak di negeri itu yang berusia antara lima hingga 11 tahun yang layak divaksin.

"Sebanyak 246 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini (semalam) membabitkan kanak-kanak berusia bawah 11 tahun yang belum divaksin, dengan 121 daripadanya merupakan kanak-kanak berusia bawah lima tahun yang belum layak mendapat vaksin," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Mengulas lanjut mengenai pemberian vaksin, Masidi berkata, seramai 2,099,720 orang atau 77.29 peratus penduduk dewasa Sabah sudah menerima dua dos vaksin lengkap.

Seramai 313,653 atau 73.59 peratus remaja di Sabah pula sudah menerima dua dos vaksin lengkap.

Sementara itu, Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, jumlah kes harian Covid-19 di negeri itu kekal mencatatkan jumlah empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 2,174 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 339,554 kes.

"Sebanyak 11 kes kematian dilaporkan iaitu tiga kes di Tawau, dua kes di Penampang dan masing-masing satu kes di Ranau, Nabawan, Kudat, Beaufort, Keningau dan Kota Kinabalu.

"Seramai 1,739 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,105 orang di hospital, 622 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 11 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan satu seorang di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 8:08 AM