FOTO HIASAN. Arkib NSTP
FOTO HIASAN. Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah membenarkan pawagam di negeri ini beroperasi semula bermula esok.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebenaran itu selaras dengan keputusan kerajaan Pusat membenarkan operasi premis berkenaan.

Bagaimanapun, katanya kehadiran penonton terhad kepada 50 peratus kapasiti pawagam, selain penonton dan pekerja perlu lengkap vaksin.

"Aktiviti panggung wayang ini dibenarkan beroperasi dengan syarat pekerja dan penonton sudah lengkap divaksin dan dengan kapasiti 50 peratus dewan tayangan pawagam," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Pawagam di seluruh negara, termasuk di Sabah sudah lama ditutup berikutan penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Masidi berkata sehingga 15 September, 54.6 peratus daripada 2,758,400 penduduk dewasa di Sabah sudah menerima dos vaksin lengkap.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, bagi penduduk yang sudah menerima satu dos, sebanyak 68.9 peratus direkodkan setakat kelmarin.

Semalam, Sabah mencatat 1,982 kes baharu Covid-19 dengan sebanyak 47 kes kematian, iaitu lapan kes di Tawau, diikuti tujuh kes di Sandakan dan enam kes di Tuaran.

Selebihnya, masing-masing lima kes di Lahad Datu dan Kota Kinabalu, diikuti empat kes di Penampang, tiga kes di Keningau, masing-masing dua kes di Kudat dan Beaufort, manakala masing-masing satu kes di Putatan, Kalabakan, Pitas, Papar dan Semporna.

Bagaimanapun, Masidi berkata jumlah kematian itu tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam lalu memandangkan ada kes kematian yang mengambil masa untuk pengesahan dan lewat dilaporkan berbanding tarikh sebenar kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 9:35 AM