MASIDI. FOTO Arkib NSTP
MASIDI. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kelalaian ibu bapa dilihat antara punca 45 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun atau belum layak divaksin dijangkiti virus Covid-19 di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah itu mewakili 17.4 peratus daripada 258 kes keseluruhan yang direkodkan hari ini di Sabah.

Katanya, situasi itu boleh dikaitkan dengan sikap segelintir individu termasuk ibu bapa yang mungkin beranggapan kebal daripada jangkitan Covid-19 kerana sudah berstatus lengkap vaksin.

"Pemerhatian mendapati kira-kira 70 peratus daripada kes baharu Covid-19 setiap hari di Sabah membabitkan mereka yang sudah lengkap divaksin. Ia memberi gambaran seolah-olah ramai daripada mereka ini beranggapan sudah kebal daripada jangkitan.

"Anggapan ini bukan sahaja salah tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka boleh menjangkiti pula anak-anak mereka di rumah yang belum layak divaksin.

"Sebanyak 17.4 peratus kes hari ini adalah dalam kalangan kanak-kanak yang belum layak menerima vaksin. Beringatlah, ibu bapa boleh menjadi pembawa virus dan menjangkiti anak-anak mereka di rumah yang masih kecil," katanya dalam kenyataan malam ini.

Berdasarkan Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), kanak-kanak adalah golongan kedua paling ramai dijangkiti Covid-19 di negeri ini selepas golongan lengkap vaksin (183 orang), manakala golongan belum menerima vaksin di kedudukan ketiga dengan 17 orang pesakit hari ini.

Bagi golongan kanak-kanak, mereka yang berusia antara enam tahun hingga 11 tahun paling ramai dijangkiti hari ini iaitu 25 orang, diikuti kanak-kanak berumur antara setahun hingga lima tahun (18 orang), manakala dua bayi berumur bawah setahun turut tersenarai antara pesakit baharu Covid-19 hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kes Covid-19 di Sabah melonjak tinggi hari ini dengan peningkatan sebanyak 97 kes menjadikan jangkitan baharu berjumlah 258 kes.

Katanya, sebanyak tiga kes kematian turut dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Tuaran dan Tawau, manakala 260 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan baki yang masih dirawat seramai 713 orang.

Berdasarkan jangkitan mengikut daerah, Masidi berkata, sebanyak 10 daerah merekodkan kes dua angka hari ini dengan Penampang mencatat kes tertinggi iaitu 49 kes, diikuti Kota Kinabalu (32 kes), Tuaran (22 kes) dan masing-masing 19 kes di Kota Marudu serta Kota Belud.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 11:23 PM