TOSRIN Jarvanthi. FOTO BERNAMA
TOSRIN Jarvanthi. FOTO BERNAMA
Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Tiada perbincangan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam mesyuarat mingguan EXCO kerajaan negeri di Bangunan Dato' Jaafar, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanthi berkata, mesyuarat berkenaan hanya meliputi perbincangan kerajaan negeri.

"Tiada apa-apa yang luar biasa dan mesyuarat hari ini berjalan seperti biasa. Kita membincangkan tentang kertas-kertas kerajaan, tiada perkara lain. Langsung tiada perbincangan (mengenai PRN Johor).

"Mesyuarat BERSATU Johor akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membincangkan desas-desus kemungkinan berlakunya PRN Johor.

"Kita akan tunggu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden BERSATU), buat masa ini belum dapat tahu lagi (tarikh)," katanya selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di sini, hari ini.

Tosrin berkata, BERSATU di peringkat negeri dan bahagian bagaimanapun sudah bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor, dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, BERSATU (11), MIC (dua), PAS (satu), sementara AMANAH (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 4:19 PM