MAYAT kanak-kanak yang lemas di Selangau dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat. FOTO ihsan JBPM
MAYAT kanak-kanak yang lemas di Selangau dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat. FOTO ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Mukah: Kanak-kanak lelaki lapa tahun yang dilaporkan hilang selepas jatuh di sungai berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Engkerbai, Selangau di sini Selasa lalu, ditemukan mati lemas, hari ini.

Mayat Muhammad Danish Muhammad Zamrie ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, mayat ditemui pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dikatakan terjatuh.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal menemui kesan luka dipercayai gigitan haiwan di lengan kiri dan kanan mangsa.

"Selepas ibu bapanya membuat pengecaman, mayat mangsa dihantar ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.44 pagi, Selasa lalu.

Berikutan itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau, dikerah ke lokasi dan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Operasi SAR turut dibantu tujuh anggota dari Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Sungai Merah, Sibu.

"Empat anggota polis dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut serta dalam operasi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 1:00 PM