KANAK-KANAK lelaki ditemukan lemas di Air Terjun Lata Rek. FOTO Ihsan JBPM
KANAK-KANAK lelaki ditemukan lemas di Air Terjun Lata Rek. FOTO Ihsan JBPM
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Jasad kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai tergelincir di Air Terjun Lata Rek, ditemukan lemas hari ini pada jarak 1.5 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

Difahamkan sebelum kejadian, kanak-kanak berkenaan berada di luar rumah bersama bapanya dan rumah mereka berada berhampiran dengan kawasan air terjun.

Tidak beberapa lama kemudian bapanya menyedari anaknya itu tidak berada di kawasan rumah dan berkemungkinan tergelincir lalu terjatuh dan lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.53 tengah hari dan tiba di lokasi pada 2.28 petang.

"Sebaik menerima panggilan, seramai sembilan anggota termasuk pegawai dari BBP Kuala Krai bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut dibantu oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

"Selepas beberapa jam operasi SAR, jasad kanak-kanak berkenaan ditemui pada 5 petang tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 7:12 PM