GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kes import Covid-19 mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 364 kes dilaporkan hari ini, berbanding 252 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang mendapat jangkitan dari luar negara itu membabitkan 322 warganegara dan 42 bukan warganegara.

Katanya, jumlah itu juga daripada 3,543 kes baharu yang dilaporkan hari ini.

"Maka, baki 3,179 kes adalah penularan tempatan membabitkan 3,047 warganegara dan 132 bukan warganegara.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, sebanyak 3,490 kes atau 98.5 peratus adalah terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua manakala 53 kes (1.5 peratus) kategori tiga hingga lima.

"Pertambahan kes baharu itu juga menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini mencecah 2,776,699 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 253 kes membabitkan 203 kes disahkan Covid-19, manakala 50 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Tambah beliau, kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 130 kes membabitkan 86 kes disahkan Covid-19 dan 44 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan.

"Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 3,484 kes pulih Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 2,705,292 kes iaitu 97.4 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Katanya, sebanyak tujuh kluster baharu dikesan hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan 6,150 kluster dengan 190 kluster masih aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 6:51 PM