Raja Noraina Raja Rahim


Sungai Buloh: Penggunaan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) atau kit ujian kendiri kurang sensitif berbanding Real-Time ReverseTranscription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, RT-PCR terlalu sensitif sehingga boleh mengesan kehadiran saki-baki virus dalam sistem badan pesakit walaupun tiada kebolehjangkitan.

Manakala, katanya, kit ujian RTK-Ag akan mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 yang mempunyai kebolehjangkitan tinggi.

"Ramai yang tidak faham mengenai ini... Kita tidak sarankan PCR digunakan dalam semua keadaan. RTK sudah mencukupi kerana ia dapat mengesan mereka mempunyai virus tinggi.

"Sebab itu kita yakin dengan protokol baharu kontak rapat yang hanya perlu buat RTK untuk saring mereka mempunyai kebolehjangkitan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kompleks MRI dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan Pusat Kawalan Kusta Negara di HSB di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ditanya mengenai kesan jangka panjang yang dialami bekas pesakit Covid-19, beliau berkata, ia dialami oleh antara lapan hingga 10 pesakit daripada keseluruhan mereka dijangkiti.

Khairy berkata, pihaknya memberi keutamaan rawatan kepada kumpulan berisiko tinggi.

Mengenai isu kekurangan jururawat, beliau mengakui menerima aduan berhubung perkara itu dan sudah meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan analisa menyeluruh.

"Saya nak lihat betul-betul isu ini. Semalam pun saya ada dialog bersama Persatuan Kumpulan Pelaksana KKM dan mereka beritahu perkara sama.

"Mungkin selepas selesai isu doktor kontrak, saya nak lihat pula kumpulan pelaksana," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 2:58 PM