Petugas klinik swasta memasukkan cecair sampel saringan Covid-19 pekerja asing yang menjalani saringan. FOTO NSTP
Petugas klinik swasta memasukkan cecair sampel saringan Covid-19 pekerja asing yang menjalani saringan. FOTO NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Penggunaan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bagi melakukan saringan Covid-19 perlu dijalankan pengendali terlatih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi memperoleh hasil saringan terbaik, ujian perlu dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh hari pertama selepas wujudnya gejala.

"Lebih spesifik untuk (disaring kepada) kluster baru yang kadar positifnya tinggi dan apabila kajian seiring menunjukkan PPV (nilai ramalan positif) adalah tinggi," katanya dalam ciapan di Twitternya.

Beliau berkata, kit ujian itu juga digunakan apabila sistem kesihatan negara mula terbeban dengan peningkatan kes baru setiap hari.

"Ketepatan kit ujian mestilah melebihi tahap 80 peratus dan pengkhususannya melebihi daripada 97 peratus," katanya mengulas syor beberapa pihak mengenai penggunaan RTK-Ag bagi ujian pengesanan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, kit ujian itu juga digunakan apabila tempoh masa bagi memperoleh hasil ujian bagi RT PCR melebih dari 48 hingga 72 jam atau jika ujian RT-PCR tidak tersedia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menjelaskan, Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara di dunia yang terawal menggunakan RTK-Ag untuk melakukan saringan Covid-19.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menggunakannya sejak Jun tahun lalu dan kit berkenaan dinilai oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (NPHL) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi memastikan ia mematuhi standard diperlukan dan kemudiannya diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk kegunaan lebih meluas dalam komuniti.

Muhyiddin berkata demikian sebagai respons kepada surat terbuka kepada beliau yang dihantar oleh sekumpulan pakar kesihatan pada 7 Januari lalu dan kumpulan itu antaranya menggesa supaya saringan ditingkatkan dengan menggunakan RTK-Ag dan bukannya kaedah Tindak Balas Rantai Polimer (PCR) untuk membantu mengurangkan penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 10:08 AM