Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mencederakan dua individu sehingga parah pada Sabtu lalu.

Tertuduh, V Lingkswaran, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan, Lingkswaran yang bekerja sebagai penyelia pengangkutan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa, P Navaneshwaran, 24, dengan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sekolah, Guntong, pada 11 malam, 19 Februari 2022.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap N Laxmi, 29, pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Afiqa Liyana memohon agar mahkamah tidak menawarkan sebarang wang jaminan kerana kedua-dua rumah mangsa berhampiran rumah tertuduh dan kes adalah kesalahan berat membabitkan kecederaan parah kepada mangsa dengan menggunakan senjata.

Bagaimanapun, Dayang Nor Emilia memohon wang jaminan dikurangkan dengan kadar minimum atas alasan mangsa tiada tempat bergantung kerana kedua-dua ibu bapa sudah meninggal dunia.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 20 April hadapan.

Media sebelum ini melaporkan, empat lelaki ditahan susulan kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada tengah malam Sabtu lalu.

Lingkswaran didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan. FOTO MANIMARAN
Lingkswaran didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan. FOTO MANIMARAN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 2:20 PM