Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun juga adik iparnya, minggu lalu.

Tertuduh berusia 22 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di sini, kira-kira jam 11 malam, 16 September lalu.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan (ASP) Rhozariah Mohd manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

PENGANGGUR mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol adik iparnya yang berusia 11 tahun, minggu lalu. FOTO L Manimaran
PENGANGGUR mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol adik iparnya yang berusia 11 tahun, minggu lalu. FOTO L Manimaran

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 2:44 PM