Rosnah. FOTO ihsan JKM
Rosnah. FOTO ihsan JKM
Ahmad Hasbi


Seremban: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan mengenalpasti sebanyak 54 taman asuhan kanak-kanak (taska) di negeri berkenaan beroperasi tanpa kelulusan pihak berwajib atau tidak berdaftar.

Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi bagaimanapun berkata, mengikut rekod sehingga Januari lalu, terdapat 158 taska yang berdaftar di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 di Negeri Sembilan.

"Sebanyak 54 taska tidak berdaftar direkodkan sehingga Januari 2022. Daerah Seremban mencatatkan jumlah taska tidak berdaftar paling tinggi iaitu sebanyak 47 manakala Kuala Pilah dan Port Dickson masing-masing dua.

"Jumlah taska yang berdaftar masih tinggi iaitu sebanyak 158 yang mana 111 daripadanya beroperasi di daerah Seremban," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media semalam melaporkan pusat asuhan di mana kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan meninggal dunia selepas tersangkut leher pada kain buaian di Bandar Sri Sendayan, di sini, semalam disahkan tidak berdaftar.

Malah, siasatan lanjut mendapati taska terbabit tidak mematuhi peraturan keselamatan ditetapkan mengenai pengasuh serta penjagaan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Rosnah berkata, ibu bapa dinasihatkan supaya memilih taska berdaftar kerana pihaknya bersama agensi teknikal lain sudah membuat pemantauan daripada segi keselamatan dan peraturan.

"Setiap tahun JKM mengadakan Kempen Jom Daftar Taska dan sedia membantu pihak pengusaha taska untuk berdaftar. Pendaftaran boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di mana taska itu ditubuhkan," katanya.

Kelmarin, dilaporkan Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemukan tidak sedarkan diri selepas lehernya tersangkut pada kain buaian pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, kanak-kanak terbabit sebelum itu ditidurkan di buaian di sebuah bilik oleh pengasuhnya sebelum wanita berkenaan keluar dan masuk semula, namun mendapati Nour Rania Asyifaa sudah tidak sedarkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 10:51 AM