ROKOK dan arak tidak bercukai yang dirampas. FOTO ihsan PPM
ROKOK dan arak tidak bercukai yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu merampas rokok dan arak tidak bercukai dalam serbuan di rumah di Pantai Acheh, Balik Pulau, di sini, semalam.

Serbuan pada 6 petang itu dijalankan selepas pihaknya melakukan intipan dan risikan selama sebulan.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pemeriksaan menemukan 531 karton rokok dan 688 liter arak yang keseluruhannya dianggar bernilai RM152,717.

Katanya, kesemua barangan itu disimpan dalam stor dan semak di belakang rumah berkenaan sebelum diedarkan.

"Lelaki berusia 60 tahun yang juga pemilik stor berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati bekalan yang dirampas dipercayai bagi dipasarkan di kedai runcit berhampiran kawasan itu," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Shamsol berkata, suspek turut mempunyai kedai makan berhampiran kawasan terbabit.

"Suspek dipercayai aktif dalam pengedaran rokok dan arak berkenaan sejak enam bulan lalu dan barangan diseludup menerusi laluan darat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 12:47 PM