ROHIMATUN bersama anaknya. FOTO Agensi
ROHIMATUN bersama anaknya. FOTO Agensi
Agensi

Banda Aceh: Tindakan sekumpulan mahasiswa di Aceh, Indonesia melakukan pengusiran besar-besaran terhadap pelarian Rohingya di negeri itu, pada Khamis, mengakibatkan sebahagian besar pelarian terbabit trauma dan ketakutan, lapor BBC News Indonesia.

Seorang pelarian berkata, dia tidak menjangka mereka diberi layanan sedemikian.

"Sebagai saudara seagama, saya tidak sangka mereka memperlakukan kami secara tidak berperikemanusiaan seperti itu," katanya yang tidak didedahkan identiti.

Seorang lagi pelarian dikenali sebagai Rohimatun, 27, berkata, tindakan yang dibuat itu sangat menakutkan.

Menurutnya, anak lelakinya yang terkejut dalam kejadian itu terus sakit dan demam.

"Apabila mahasiswa datang beramai-ramai menyerang kami, membaling semua pakaian, beg dan segala-galanya ke atas kami, walaupun dalam beg itu ada al-Quran, ada Iqra, tetapi semuanya dilemparkan ke atas kami.

"Kami sangat takut dan dalam kesakitan sehingga menangis. Kerana kita adik-beradik seagama, saya tidak sangka mereka memperlakukan kami secara tidak berperikemanusiaan seperti itu," katanya yang juga ibu tunggal anak tiga.

Rohimatun menjelaskan sebab dia berada di Aceh adalah kerana ancaman berterusan di Kem Cox Bazar, Bangladesh.

Menurutnya lagi, di Aceh, dia mempunyai harapan untuk masa depan yang lebih baik untuk anak-anaknya.

Sebelum ini, dia melarikan diri ke Bangladesh kerana pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di kampung halamannya di Myanmar pada 2017.

"Saya pergi membawa tiga anak bersama dan berpisah dengan suami. Kemudian, ketika berada di Bangladesh, saya mendapat tahu suami saya mati ditembak ketika menyelamatkan diri, tetapi saya tidak pernah melihat mayatnya," kata Rohimatun.

Seorang lagi pelarian Muhammad Syakhi di kem pelarian bersama isteri dan dua anaknya tidak dapat menahan kesedihan atas perlakuan mahasiswa itu.

"Saya terpaksa melarikan diri ke Aceh kerana tiada jaminan keselamatan di kem pelarian di Bangladesh. Setiap hari ada penculikan, tembak-menembak dan ramai mati. Pada mulanya saya ke Aceh kerana mendengar bahawa orangnya baik.

"Tapi, nampaknya berbeza. Kami sangat takut, apa yang kami bayangkan di sini berbeza, sebab itu kami menangis," katanya.

Sementara itu, kumpulan masyarakat sivil di Indonesia kesal kerana tindakan pengusiran itu disertai dengan keganasan dan ugutan.

Agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang mengendalikan pelarian, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyeru pihak berkuasa untuk menjamin keselamatan pelarian, yang kini berjumlah 1,608 orang di Aceh.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia Mahfud MD berkata, Kerajaan Pusat akan mengambil langkah untuk menempatkan sementara pelarian Rohingya di Aceh.

Mahfud turut mengingatkan polis supaya menjaga keselamatan mereka.

Sehari selepas kepungan dan pemindahan paksa yang dilakukan sekumpulan mahasiswa itu, seramai 137 pelarian Rohingya yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dibawa ke pusat perlindungan di ruang bawah tanah Bangunan Balee Meuseraya Aceh (BMA), Kota Banda Aceh.

Mereka sebelum ini dipaksa dan diiring untuk bergerak dengan dua trak ke pejabat Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Aceh dari Bangunan BMA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 1:05 PM