ZAHIDI Zainul Abidin. FOTO arkib NSTP
ZAHIDI Zainul Abidin. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Program RIUH-Keluarga Malaysia edisi pertama anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 Mac ini di Arena Warna, Ayer Hitam, Johor.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, program itu membabitkan kerjasama antara kementerian itu, MyCreative Ventures Sdn Bhd dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).

Beliau berkata, program itu bertujuan mempromosi dan memartabat industri kreatif tempatan serta memulihkan ekonomi dan merancakkan sektor pelancongan.

"Program ini akan turut diadakan di setiap negeri secara berperingkat," katanya dalam wawancara program Sembang Santai 'Hello Permata' di radio Johor FM hari ini.

Program RIUH-Keluarga Malaysia itu diluluskan di Dewan Rakyat tahun lalu membabitkan kos RM20 juta menerusi Bajet 2022.

Program itu juga menyasar untuk menarik lebih ramai belia terutama yang meminati seni lakonan, tarian dan lukisan bagi memahami mengenai prospek cerah untuk menjana ekonomi dalam bidang seni dan digital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 4:07 PM