Azalina Adham.
Azalina Adham.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), mengumumkan pelantikan Datin Azalina Adham sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan berkuatkuasa 24 Jun 2021.

Azalina berpengalaman lebih 25 tahun dalam pasaran kewangan dan pasaran modal, adalah Pengarah Bebas, MyCreative Ventures Sdn Bhd, dan beliau juga adalah ahli Panel Penasihat Eksekutif, Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana).

Media Prima dalam kenyataan hari ini berkata, Azalina menyertai Bursa Malaysia pada tahun 2001 dan telah memegang pelbagai jawatan dalam bidang strategi dan transformasi, termasuk pembangunan perniagaan dan pelabur.

Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pegawai Operasi, Bursa Malaysia yang dipegang dari Februari 2017 hingga 2020.

Sebelum menyertai Bursa Malaysia, beliau berpengalaman di dalam bidang perbankan korporat, kewangan korporat dan penswastaan, dengan pengalaman kerja beliau bersama Maybank Investment Bank dan

Alliance Investment Bank Berhad.

Beliau memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan daripada Purdue University, Amerika Syarikat.

Beliau juga adalah alumni Harvard Business School, Amerika Syarikat dan telah menghadiri Program Pengurusan Lanjutan institusi berkenaan.

Mengulas mengenai pelantikan ini, Pengerusi Kumpulan, Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, bagi pihak Lembaga Pengarah Media Prima, beliau mengalu-alukan kehadiran Azalina ke Kumpulan Media Prima. "Dengan rekod prestasi yang terbukti dalam bidang pembangunan perniagaan, strategi dan transformasi, kami percaya bahawa beliau akan memberikan sumbangan yang besar kepada Kumpulan menuju masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 5:56 PM