FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
Agensi

Singapura: Singapura mungkin menyaksikan 'gelombang besar' Covid-19 dalam masa terdekat, dengan 70 peratus kes jangkitan harian adalah varian Omicron.

Menurut pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian, Gan Kim Yong, jumlah itu kemungkinan lebih tinggi.

"Angka berkenaan mungkin hampir 90 peratus atau lebih. Omicron sudah mengatasi varian Delta di Singapura.

"Memandangkan varian Omicron lebih mudah berjangkit, terdapat kemungkinan kita akan menyaksikan gelombang besar," katanya seperti dilaporkan CNA.

Menurutnya, kebanyakan kes Omicron adalah ringan terutamanya dalam kalangan individu yang lengkap divaksin serta sudah menerima suntikan dos penggalak Covid-19.

"Peratusan yang memerlukan bantuan oksigen, jagaan rapi atau meninggal dunia adalah jauh lebih rendah berbanding gelombang Delta. Ini sama seperti pengalaman di negara-negara lain seperti Afrika Selatan dan Britain," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan ia menjangkakan jumlah kes akan meningkat.

"Jumlah kes boleh naik sekali ganda setiap dua hingga tiga hari dan mungkin mencecah 10,000 hingga 15,000 kes setiap hari," menurut kementerian itu.

Namun, memadangkan Omicron kurang mudarat, Singapura patut menumpukan perhatian kepada jumlah pesakit dalam unit jagaan rapi dan bukan jumlah kes, kata MOH.

"Memandangkan Omicron lebih mudah berjangkit, kita tidak boleh bersikap sambil lewa, kerana jika jumlah keseluruhan kes naik hingga tidak terkawal, ia boleh membawa jumlah kes yang dimasukkan ke hospital dan ICU ke paras tidak dapat ditangani," menurut MOH.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 7:21 PM