Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sebanyak 28 kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini yang turut menyumbang kepada 27,831 kes harian iaitu angka tertinggi harian pernah direkodkan di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan secara keseluruhan 6,657 kluster sudah direkodkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Menurutnya, sebanyak 6,190 kluster sudah tamat, manakala kluster aktif dengan kebolehjangkitan adalah 467 kluster ketika ini.

"Hari ini dilaporkan sebanyak 7,912 kes sembuh menjadikan 2,876,450 kes kumulatif (92.5 peratus).

"Sebanyak 204 kes pula memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) iaitu 105 kes disahkan Covid-19, 99 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan, memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 116 kes (53 kes disahkan Covid-19 dan 63 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, daripada 27,831 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 97 kes (0.35 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5, manakala 27,734 kes (99.65 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Menurutnya, pesakit kategori 1 sebanyak 7,606 kes (27.33 peratus), pesakit kategori 2 sebanyak 20,128 kes (72.32 peratus), pesakit kategori 3 sebanyak 59 kes (0.21 peratus), pesakit kategori 4 sebanyak 28 kes (0.10 peratus) dan pesakit kategori 5 sebanyak 10 kes (0.04 peratus).

"Bagi kes kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan membabitkan sebanyak 24 kes (24.7 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 51 kes (52.8 peratus) sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak (kumpulan ini berisiko kerana kemungkinan tahap imuniti terhadap Covid-19 sudah menurun).

"Selain itu, lima kes (8.9 peratus) membabitkan kes ibu mengandung, 39 kes (40.2 peratus) individu berusia 60 tahun dan ke atas, 31 kes (63.3 peratus) mempunyai penyakit komorbid dan enam kes (6.2 peratus) sudah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, katanya, sehingga 5 petang hari ini dialporkan penggunaan katil ICU bagi kes Covid-19 di dua negeri iaitu Johor dan Kuala Lumpur menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus.

Menurutnya, secara khusus bagi penggunaan katil bukan ICU bagi kes Covid-19 di lapan negeri iaitu Selangor, Kelantan, Perak, Perlis, Sabah, Putrajaya, Johor dan Kuala Lumpur menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus.

"Bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di 10 negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Johor, Kedah dan Perak turut menunjukkan peratusan pengisian 50 peratus atau lebih," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 9:55 PM