PESERTA projek konservasi dengan terumbu karang yang diletakkan di Pulau Tiga. FOTO Ihsan UPSI.
PESERTA projek konservasi dengan terumbu karang yang diletakkan di Pulau Tiga. FOTO Ihsan UPSI.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjayakan projek konservasi terumbu karang di Pulau Tiga, Kuala Penyu, Sabah bagi mendidik komuniti mengenai penjagaan alam sekitar.

Projek diketuai Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI, Prof Madya Che Ghani Che Kob berjaya membina bingkai terumbu karang sepanjang 4.5 meter dengan singkatan nama UPSI.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, usaha itu membuktikan pihaknya cakna dengan program yang memberi impak kepada komuniti dan alam sekitar.

"UPSI memiliki kakitangan dan pelajar yang aktif dalam melaksanakan aktiviti komuniti berkaitan kelestarian alam sekitar selaras dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Che Ghani berkata, projek berkenaan turut disertai pengetua Kolej Awang Had Salleh, Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Za'ba, Kolej Ungku Omar dan Kolej Aminuddin Baki selain bantuan kakitangan Lembaga Pemegang Amanah, Taman-Taman Sabah.

"Penanaman terumbu karang ini dilaksanakan melalui empat proses utama iaitu mereka bentuk, membangun, memasang dan menguji yang mengambil masa selama dua hari sebelum diletakkan di dasar perairan laut Pulau Tiga.

"Proses ini termasuk membina bingkai batu karang, penyaduran pasir di bingkai, mengikat 1,000 benih terumbu karang dan melabuhkan bingkai di lokasi sasaran," katanya.

Katanya, Pengurus Taman Roslizan Sallindan dan Pembantu Taman Kamin Baluat bekerjasama memantau proses yang dijalankan itu sehingga selesai.

Che Ghani berkata, projek berkenaan menunjukkan UPSI komited memperkukuh libatsama komuniti dan tanggungjawab sosial melalui pendekatan pemeliharaan alam sekitar.

"Hasrat kami menjayakan program ini mencerminkan usaha UPSI sebagai universiti perintis dalam bidang pendidikan. Kami memberi pendidikan dan kesedaran melalui libatsama komuniti atau organisasi lain terhadap kepentingan memelihara khazanah dasar laut yang tidak ternilai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 9:26 PM