DR Noor Azmi memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim.
DR Noor Azmi memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap sedia dan mempunyai pelan strategik bagi menghadapi peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, antara pendekatan yang diambil adalah mengaktifkan semula National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF).

Katanya, pendekatan lain yang akan diambil adalah mengambil semula kakitangan fisioterapi yang sudah berpencen untuk tampil membantu sekiranya diperlukan.

"Setakat ini, kita mempunyai 123 hospital untuk menempatkan pesakit Covid-19 termasuk 114 hospital hibrid di seluruh negara.

"Pada masa sama, kita mempunyai 43 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan 11,000 katil,"

katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja sempena PICKids di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, walaupun kes Covid-19 meningkat sehingga mencecah lebih 22,000, namun keadaan masih terkawal dan pihaknya kini lebih bersedia memandangkan sudah dua tahun berdepan pandemik ini.

Malah katanya, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah dari kategori 1 dan 2 yang hanya memerlukan kuarantin di rumah sahaja.

"Sebagai contoh kes harian semalam merekodkan lebih 22,000 kes, 99.34 peratus daripadanya adalah kategori satu.

"Alhamdulillah keadaan terkawal namun orang ramai diingatkan supaya terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.

Ditanya kemungkinan Malaysia mengenakan suntikan vaksin dos keempat sebagaimana dilakukan Korea, Dr Noor Azmi berkata, tiada perbincangan dilakukan berhubung dos keempat setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 2:19 PM