Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 16 kluster baharu jangkitan Covid-19 hari ini sekali gus menjadikan sebanyak 6,629 kluster dikesan di negara ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 6,185 kluster sudah ditamatkan tetapi terdapat 444 kluster yang masih aktif ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi 22,133 kes harian yang dilaporkan hari ini pula membabitkan sebanyak 146 kes (0.66 peratus) adalah daripada kategori 3, 4, dan 5, manakala 21,987 kes lagi iaitu 99.34 peratus terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Menurutnya, KKM mengesan 30 kes atau 20.6 peratus yang tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi bagi kes kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan.

"Untuk kes kategori 3, 4 dan 5 itu, sebanyak 79 kes (54.1 peratus) sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

"Satu kes (0.7 peratus) adalah membabitkan ibu mengandung, 58 kes (39.7 peratus) individu berusia 60 tahun dan ke atas, sebanyak 46 (31.5 peratus) kes mempunyai penyakit komorbid dan 15 (10.3 peratus) kes meninggal dunia termasuk dua kes (1.4 peratus) adalah kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

"Bagi kes yang sudah mendapat dua dos vaksin tetapi belum disuntik dengan dos penggalak, kumpulan itu dianggap berisiko kerana kemungkinan tahap imuniti terhadap Covid-19 sudah menurun," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 7,584 kes sembuh jangkitan Covid-19 pula dilaporkan hari ini dan menjadikannya sebanyak 2,868,538 kes kumulatif atau 93.0 peratus kes sembuh.

"Ketika itu terdapat seramai 194 kes Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 120 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, katanya, walaupun semasa kes diuji dan baru didiagnosis kebanyakan pesakit adalah pada kategori yang rendah, namun pada hari berikutnya ada kes yang boleh merosot ke kategori yang lebih tinggi (atau sebaliknya) lalu dimasukkan ke hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 8:45 PM