BERNAMA

PARTI Warisan Sabah (Warisan) bersama rakan parti lain (Warisan-Plus) dijangka memuktamadkan senarai calon dan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah minggu depan, kata Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, parti itu bersama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan calon yang bukan sahaja boleh menang, tetapi juga setia pada parti.

"Tidak ada gunanya kita letak calon yang ada ijazah, yang berpangkat doktor, tetapi melompat (ke parti lawan) selepas menang.

"Kita mahu memastikan calon dan kerusi (ditandingi) bersesuaian bagi menjamin kemenangan," katanya selepas mempengerusikan perjumpaan Warisan bersama UPKO dan PH di Kota Kinabalu, semalam.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah turut memberitahu Warisan dan rakan partinya mementingkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan ahlinya bagi menghadapi pihak lawan.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, Khamis lalu, diambil berikutan keadaan politik semasa yang boleh menjejaskan pengurusan pentadbiran negeri termasuk usaha menarik pelabur ke Sabah.

SHAFIE pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PH Sabah dan UPKO, semalam. FOTO BERNAMA
SHAFIE pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PH Sabah dan UPKO, semalam. FOTO BERNAMA

Berikutan situasi politik semasa itu, kata Mohd Shafie, beliau sudah menasihati Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin supaya membubarkan Dun.

Ketika ditanya mengenai usaha pihak tertentu menghalang PRN dijalankan melalui proses mahkamah, Mohd Shafie berkata, beliau sudah mengarahkan Peguam Besar Negeri mengendalikan perkara itu.

Sementara itu, Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, partinya akan mempertahankan kerusi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu yang mana penyandangnya beralih sokongan.

Dun Sabah dibubarkan Khamis lalu bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan sebelum 29 September depan.

Rabu lalu, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri baharu, namun Tun Juhar bersetuju membubarkan Dun atas permintaan Mohd Shafie.

Pada PRU14, sebanyak 60 kerusi Dun dipertandingkan, tetapi pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi Dun Sabah.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 7:15 AM