Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan ada menerima laporan mengenai insiden pencerobohan gajah di Kem Sri Banding, Gerik baru-baru ini seperti video yang tular.

Perhilitan turut menegaskan bahawa ia merupakan kejadian berulang.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff menegaskan kejadian itu membabitkan pencerobohan gajah di satu gudang di kem berkenaan.

Gambar daripada rakaman video gajah yang menceroboh Kem Sri Banding, Gerik baru-baru ini. Foto Ihsan Pembaca
Gambar daripada rakaman video gajah yang menceroboh Kem Sri Banding, Gerik baru-baru ini. Foto Ihsan Pembaca

Menurutnya, gangguan gajah di kem terbabit sememangnya kerap berlaku terutamanya apabila disebabkan kerosakan pada pagar elektrik atau pagar berkenaan tidak diselenggarakan dengan baik.

"Pejabat Perhilitan Gerik akan membantu dan memberi nasihat kepada pihak pengurusan kem itu bagi kerja baik pulih," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 11 saat yang tular merakam seekor gajah menjengah kepalanya menerusi tingkap di sebuah stor simpanan makanan di Kem Banding, Gerik.

Pada Januari 2018, pernah dilaporkan mengenai gangguan gajah di Kem Sri Banding yang menyebabkan haiwan itu mati kerana terkena renjatan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 9:53 PM