AMRIN (kiri) bersama anggota APM mendaki Bukit Tawai, Telupid.
AMRIN (kiri) bersama anggota APM mendaki Bukit Tawai, Telupid.
HM Digital

Telupid: Tiada panggilan kecemasan diterima daripada penduduk di kawasan ini berikutan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.8 di Tongod, di sini, semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Telupid Leftenan (PA) Amrin Amirun berkata, ketika kejadian jam 8.25 pagi, pihaknya bersama lima individu lain sedang mendaki Bukit Tawai, di sini.

Menurutnya, mereka memulakan pendakian jam 8 pagi dan tiada gegaran dirasai ketika di lokasi berkenaan.

“Kami ada maklumat tidak rasmi penduduk Telupid mendakwa merasai sedikit gegaran (akibat gempa bumi) melalui aplikasi Whatsapp, namun tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Terdahulu, satu gempa bumi lemah dilaporkan di lokasi 35 kilometer timur laut Tongod.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dalam kenyataan media memaklumkan gempa bumi berkenaan mungkin dirasai gegarannya di sekitar kawasan Tongod dan Beluran.

JMM turut memaklumkan satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 magnitud melanda Mindanao, Filipina iaitu 49 kilometer barat daya bandar Valencia, Filipina dan 752 kilometer timur laut Kinabatangan, di sini.

Difahamkan, kejadian berlaku jam 4.47 pagi itu bagaimanapun tidak memberi ancaman tsunami.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 10:54 AM