Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pembantu klinik haiwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol bekas kekasihnya pada September 2015.

Tertuduh, Mohd Farit Mohd Noor, 35, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mohd Farit didakwa merogol seorang remaja perempuan (ketika kejadian berusia 16 tahun 11 bulan) di sebuah rumah kosong di Bukit Marak, Bachok pada 2 petang September 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fariz menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jaminan terhadapnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan menetapkan 14 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 12:24 PM
Pembantu klinik haiwan, Mohd Farit Mohd Noor, 35, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, di atas pertuduhan merogol kekasih bawah umur pada September 2015. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI
Pembantu klinik haiwan, Mohd Farit Mohd Noor, 35, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, di atas pertuduhan merogol kekasih bawah umur pada September 2015. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI