SEORANG lelaki dipercayai cuba terjun ke sungai. FOTO ihsan bomba
SEORANG lelaki dipercayai cuba terjun ke sungai. FOTO ihsan bomba
Norzamira Che Noh


Klang: Anggota bomba dan penyelamat menggagalkan cubaan seorang lelaki warga India berusia 50-an terjun ke sungai di jambatan Jalan Kem, dekat sini, malam tadi.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.40 malam dan sepasukan pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang tiba tujuh minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati seorang lelaki berada di penghadang jalan dipercayai cuba terjun ke sungai.

"Pasukan bomba memujuk mangsa dan selepas 30 minit, lelaki berkenaan berjaya dipujuk seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, punca dia bertindak sedemikian tidak dapat dipastikan.

Semalam, seorang lelaki dipercayai terjun ke Sungai Klang dari Jambatan Diauddin, Jalan Tengku Kelana, di sini.

Pada 8 Februari lalu, kejadian sama turut berlaku di Jambatan Raja Muda Nala yang mana seorang lelaki dipercayai terjun dari jambatan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 2:14 PM