Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Pemandu e-hailing yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan palsu di Facebook dan blognya, menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan di sini, hari ini.

Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Abdul Rahman Abdollah, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan Abdul Rahman dipenjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda bagi kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Rahman didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman blog 'Abu Leman' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 30 April 2019.

Abdul Rahman turut didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui akaun Facebook Abu Leman, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada jam 10.57 malam, tarikh sama.

Kedua-dua pautan kemudiannya dibaca di Taman Pelangi, Langkap pada jam 12.30 tengah malam, 2 Mei 2019.

ABDUL Rahman (kanan) didenda selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan palsu di Facebook dan blog. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
ABDUL Rahman (kanan) didenda selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan palsu di Facebook dan blog. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala Abdul Rahman diwakili peguam, Aiman Abdul Rahman.

Pada Disember 2019, Abdul Rahman yang berasal dan menetap di Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan dan dibicarakan bermula 9 Januari 2020.

Berdasarkan gambar tangkap layar yang menjadi dokumen lampiran ketika pertuduhan dibacakan, OKS menghantar berita palsu kononnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris, kira-kira tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 3:00 PM