FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

DUA lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, masing-masing atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook pada Mac lalu.

Penganggur, Ooi Wei Siong dan peniaga dalam talian, Nurhaizad Azhar, masing-masing berusia 38 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mengikut kertas pertuduhan, Ooi didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya itu menggunakan laman profil Facebook, SAM OOI, dengan niat untuk menganiayai orang lain, pada 7.39 pagi, 1 Mac lalu.

Kenyataan itu dibaca di laman profil Facebook, Hanya di Kelate, di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tingkat 27 Menara KPJ, Wangsa Maju di Kuala Lumpur, pada 8.20 pagi, 2 Mac lalu.

Nurhaizad pula didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya itu dengan menggunakan laman profil Facebook, Haizad Azhar, dengan niat untuk menganiayai orang lain.

Kenyataan itu dibaca di laman profil Facebook, Din Radhi, di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wangsa Maju, pada 11.20 pagi, 1 Mac lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Edwin membenarkan kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) itu dijamin RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac serta 20 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas mereka, selain tidak membenarkan kedua-dua individu itu memuat naik mengenai kes berkenaan di laman sosial.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi yang mengendalikan kedua-dua kes berkenaan mencadangkan supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas OKS kerana perbuatan mereka mencetuskan kemarahan rakyat dan hukuman itu adalah sebagai pengajaran kepada mereka.

Peguam, Ahmad Ridza Mohd Noh yang mewakili Ooi pula berkata, anak guamnya memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas perbuatannya dan memohon supaya mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara.

Nurhaizad yang tidak diwakili peguam pula memohon maaf kepada Seri Paduka dan rakyat Malaysia, selain memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan ke atasnya.

Di mahkamah sama, seorang suri rumah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik berhubung Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebooknya pada Februari lalu.

Fadilah Hamid, 43, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya itu menggunakan laman profil Facebook, Fadhilah Abdulhamid, dengan niat untuk menganiayai orang lain dan kenyataan itu dibaca di laman profil Facebook, Fadhilah Abdulhamid, di Apartment Seri Ceria 1, Jalan Jalil Indah Pinggiran Bukit Jalil, Cheras di Kuala Lumpur, 9.14 pagi pada 19 Februari tahun lalu.

Mahkamah membenarkan wanita itu yang diwakili peguam Nur Sabrina Nasruddin diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 April depan untuk sebutan, selain mengenakan syarat bahawa dia tidak boleh memuat naik mengenai kes berkenaan di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 3:13 PM