ANGGOTA RELA, Sabri Aring Abdullah, 53, (kanan) bersama rakan sepasukan membantu penduduk Kampung Kanibungan membersihkan rumah  penduduk kampung yang dilanda banjir Ahad lalu.
ANGGOTA RELA, Sabri Aring Abdullah, 53, (kanan) bersama rakan sepasukan membantu penduduk Kampung Kanibungan membersihkan rumah penduduk kampung yang dilanda banjir Ahad lalu.
BERNAMA

Kota Kinabalu: Semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Pitas, ditutup sepenuhnya tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan penutupan PPS kira-kira 12 tengah hari tadi membabitkan dua PPS terakhir iaitu Dewan Kampung Kusilad dan Dewan Kampung Sinukab.

Katanya, kesemua mangsa berlindung di PPS berkenaan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing berikutan keadaan banjir yang sudah pulih.

Pagi tadi, kedua-dua PPS itu menempatkan seramai 559 mangsa melibatkan 183 keluarga dari Kampung Kusilad, Kampung Desa Seberang, Kampung Kanibongan, Kampung Boribi dan Kampung Untang-Untang/Mulung Kulung.

Petang ini cuaca diramal cerah di kebanyakan daerah di Sabah termasuk Kota Kinabalu, Pitas dan Kudat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 4:39 PM