PEGAWAI JSJ IPK Kedah melakukan pemeriksaan dalam serbuan judi Po Por di Bandar Laguna Merbok di Kuala Muda. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PEGAWAI JSJ IPK Kedah melakukan pemeriksaan dalam serbuan judi Po Por di Bandar Laguna Merbok di Kuala Muda. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah akan memperhebatkan lagi Op Limau sempena Tahun Baru Cina untuk membanteras kegiatan perjudian di negeri ini.

Ketua JSJ Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, operasi itu sudah berjalan sejak 25 Januari lalu dan pihaknya turut menggunakan bantuan dron selain maklumat orang awam untuk membantu membanteras kegiatan perjudian.

Beliau berkata, antara kejayaan yang dilakukan pihaknya ialah serbuan judi belangkas di Kota Setar malam kelmarin dan judi mahjong Po Por di Kuala Muda, semalam selain operasi di daerah lain.

Dalam serbuan di Kota Setar, pihaknya menahan 15 individu berusia antara 50 hingga 70 tahun yang terbabit dalam judi belangkas di kawasan belukar di Jalan Pegawai jam 8.30 malam kelmarin oleh pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Turut dirampas wang tunai RM14,000 serta peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian itu.

Dalam serbuan di Kuala Muda, Suresh Kumar berkata, pihaknya menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani dan menahan 10 lelaki termasuk penganjur kegiatan judi pada jam 12.15 tengah malam.

Beliau berkata, operasi turut disertai sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

"Kesemua mereka berusia 50 hingga 60-an itu ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

"Selain itu, mereka turut ditahan mengikut Peraturan 16 (Pelan Pemulihan Negara (PPN) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 Fasa 4 (Pemulihan) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) disebabkan berkumpul tanpa penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka," katanya ketika ditemui hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 11:08 AM