Zuliaty Zulkiffli


POLIS menggeledah 20 premis di sekitar Alor Setar yang menjalankan perjudian dalam talian dan merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk tujuan itu, hari ini.

Serbuan bermula jam 10 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar diketuai Asisten Superintendan Noor Hazlie Md Yusoh.

Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 18 tahun iaitu pekerja di premis diserbu di Pokok Sena dan Kuala Kedah bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor berkata, operasi geledah itu dilakukan terhadap premis yang pernah diserbu sebelum ini kerana menganjurkan aktiviti perjudian dalam talian.

Menurutnya, sejak 1 Januari hingga 15 Ogos lalu, sebanyak 128 serbuan dilakukan terhadap premis yang menjalankan penjualan tambah nilai untuk judi dalam talian di seluruh daerah.

"Daripada jumlah itu, ada premis yang pernah diserbu dua atau tiga kali namun masih berdegil dan meneruskan kegiatan ini secara tersembunyi," katanya di Alor Setar, hari ini.

Noor Azman berkata, tujuan utama pihaknya menggeledah premis itu adalah untuk memastikan aktiviti perjudian dalam talian dapat dibanteras dan dihapuskan sehingga akar umbi.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan kegiatan ini atau mereka yang menjadikan kawasan kedai sebagai tempat menjual tambah nilai judi dalam talian.

"Selepas ini, kami akan memberikan notis pemberitahuan kepada pemilik premis berhubung perkara ini," katanya.

Katanya, operasi berakhir jam 4 petang dan semua barangan yang dirampas termasuk dua individu ditahan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

ANGGOTA dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Setar melakukan penggeledahan di salah sebuah premis yang terbabit menjual tambah nilai judi secara dalam talian di sekitar Kuala Kedah dan Pokok Sena.FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
ANGGOTA dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Setar melakukan penggeledahan di salah sebuah premis yang terbabit menjual tambah nilai judi secara dalam talian di sekitar Kuala Kedah dan Pokok Sena.FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:34 PM